Best Story

1 November 2009

Peguam Syarie Kena Ilmu Hitam dalam Mahkamah!!


 
Salam 1 Malaysia buat semua...wah, nampaknya tugas seorang peguam syarie banyak cabarannya yer...Selain tidak cukup tidur untuk mencari hujah untuk dibentangkan di hadapan hakim untuk memastikan kemenangan dalam perbicaraan untuk mempertahankan anak guam mereka, mereka juga menghadapi satu lagi cabaran yang pelik...iaitu gangguan jin dan syaitan yang dihantar oleh bomoh yang mengamalkan ilmu hitam yer...(ish, syirik tue..masuk neraka ler jawabnya)
Bomoh ini sebenarnya diupah untuk mengganggu peguam syarie menjalankan tugas mereka dan sekali gus menggagalkan misi kemenangan untuk anak guam mereka..Selain itu juga, gangguan ini juga adalah berkait dengan amalan khurafat anak guam mereka sendiri, yang mana mereka sanggup mengamalkan ilmu hitam yang dipercayai dapat menjadi pendinding dan memberi mereka kemenangan dalam perabicaraan...
Ikutilah beberapa kisah benar yang dialami oleh peguam syarie yang mana gua(III) peroleh dari sebuah akhbar tempatan yang mana gua(III) tidak ada mengubah apa-apa ayat dari kisah yang terdapat diakhbar tersebut  yer(gua(III) bukan apa, risau nanti kisah tue jadi kisah lain pulak kalau gua(III) edit2..nanti jadi kisah lawak pulak jadinya...)  


PEGUAM 1:



“Banyak kali saya berdepan masalah ilmu hitam cuba dikenakan pada saya oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun, selepas membaca potongan ayat suci al-Quran, cubaan itu gagal mengena sasaran.
Antara situasi yang kerap saya alami ialah tercium bau kemenyan. Apabila ia berlaku, biasanya tubuh saya rasa tidak selesa. Jadi, saya cepat-cepat baca ayat kursi. Alhamdulillah, ia berkesan kerana setakat ini saya tidak kena lebih teruk daripada itu.
Namun, saya pernah melihat ada seorang rakan peguam mengalami gangguan agak teruk apabila dia gagal bercakap kerana mulutnya seperti terkunci. Hakim berkali-kali menegurnya tetapi dia tetap tidak mampu mengeluarkan walau sepatah perkataan. Akhirnya, selepas digagahi dia mampu berkata-kata tetapi dalam keadaan tergagap-gagap.
Satu lagi kes, rakan saya tidak dibenarkan oleh anak guamnya untuk meneruskan tugas kerana dia membawa bersama seorang bomoh untuk turut serta dalam perbicaraan. Puas diterangkan bahawa dia tidak boleh dilakukan tetapi lelaki terbabit berdegil dan tetap mahu bomoh itu mengikuti perbicaraan.
Saya memang percaya dengan kejadian membabitkan ilmu hitam di kalangan pihak tertentu di mahkamah tetapi sebagai seorang Islam, kita tidak wajar percaya ia punya kuasa untuk menentukan apa yang berlaku, sebaliknya hanya Allah SWT yang maha kuasa,”




PEGUAM 2:




“Dalam satu kes perceraian, kira-kira tiga bulan lalu, saya dikatakan bercakap dalam bahasa yang tidak difahami menyebabkan anak guam, hakim serta mereka yang hadir di mahkamah terkeliru.
Bagaimanapun, saya rasa bercakap dalam bahasa Melayu dengan jelas dan lancar. Akibatnya, saya ditegur berulang kali oleh hakim supaya bertutur bahasa yang boleh difahami. Setiap kali ditegur, saya akan bercakap dengan perlahan dan jelas tetapi masalah itu tetap berulang.
Saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan oleh anak guam saya. Saya cukup terkejut tetapi percaya mungkin ia perbuatan menggunakan ilmu hitam pihak tidak bertanggungjawab yang mahu saya tewas dalam kes berkenaan.
Selain itu, saya dimaklumkan oleh rakan setugas yang mahir dalam perkara ghaib bahawa pernah melihat ada makhluk tertentu di pejabat saya yang dipercayai dihantar untuk mengganggu saya. Akibatnya, setiap kali masuk pejabat, saya rasa mengantuk dan lebih banyak tidur daripada bekerja. Sudahnya, banyak kerja tertangguh.
Saya percaya pada perkara ghaib tetapi tidak mengambil kisah sangat mengenainya. Biarpun adakalanya bengang dengan situasi penggunaan cara khurafat itu, saya tetap percaya ada kebaikan di sebaliknya kerana Allah SWT itu maha adil lagi bijaksana.”




PEGUAM 3:




“Satu situasi yang kerap saya alami ialah kehadiran individu tertentu dalam mahkamah yang terkumat-kamit mulutnya apabila saya sedang berhujah. Setiap kali dipandang, dia tidak berhenti melakukan perkara sama.
Apabila itu berlaku, tubuh saya terasa lemah, percakapan tidak lancar, banyak kesilapan dibuat dan saya juga gagal memberikan tumpuan sepenuhnya pada perbicaraan.
Bagi memastikan gangguan terbabit berakhir, saya akan membaca ayat kursi serta beberapa potong ayat suci al-Quran. Syukur, apabila semua itu dibaca, gangguan beransur-ansur hilang.
Saya juga sering diingatkan oleh anak guam bahawa defendan atau plaintif gemar menggunakan khidmat bomoh dalam kehidupan seharian untuk memastikan saya berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
Kerana itu, amalan saya sebelum melangkah masuk ke kamar mahkamah ialah bacaan ayat kursi serta beberapa potong ayat suci al-Quran kerana hanya Allah SWT saja yang mampu memberikan bantuan kepada kita.
Biasanya, semua itu berlaku dalam kes membabitkan perceraian serta hak penjagaan anak. Saya sendiri tidak faham kenapa mereka sanggup melakukan perkara khurafat. Jika usaha mereka berkesan sekalipun, kes hanya akan ditangguhkan, tapi itu bukan bermakna mereka menang perbicaraan kerana kes masih akan diteruskan,”.




PEGUAM 4:




“Satu pengalaman sukar saya lupakan ialah ketika mengikuti satu perbicaraan kes permohonan cerai fasakh, saya dikejutkan dengan perlakuan pelik defendan yang tiba-tiba mengeluarkan kain kuning daripada dalam poket seluarnya.
Dia kemudian bangun dan memusingkan kain terbabit di atas kepala menyebabkan ramai di mahkamah, termasuk hakim tersentak. Hakim mengarahkannya berhenti tetapi tidak diendahkan, sebaliknya dia terus membaca serapah tertentu dalam keadaan menjerit-jerit.
Akibatnya, kes terpaksa ditangguhkan dan ada kemungkinan lelaki terbabit mengamalkan amalan tertentu sehingga sanggup melakukan perbuatan berkenaan.
Dalam satu lagi kes, anak guam saya sendiri tiba-tiba memasukkan keris kecil dibalut kain kuning ke dalam poket seluar saya dengan alasan untuk mendinding diri saya daripada terkena ilmu hitam suami.
Anak guam saya itu mengatakan suaminya kuat menggunakan khidmat bomoh tetapi saya menolak dan mengeluarkan keris terbabit kerana tidak mahu terkait sama dengan amalan khurafat.
Kasut saya pernah dimasukkan garam. Saya menyedarinya selepas habis perbicaraan dan rakan mengatakan mungkin ada pihak mahu mengenakan saya dengan ilmu hitam. Saya percaya ia ada kaitan dengan kes yang saya kendalikan.
Garam juga amat popular di kalangan pengamal khurafat di mana ada satu kes, hakim menangguhkan perbicaraan semata-mata terdapat banyak garam di tabur di mahkamah.
Hakim mengatakan garam terbabit perlu dikutip individu yang menaburnya atau kes tidak akan dibicarakan. Bagaimanapun, tiada siapa mengutipnya. Saya bersyukur kerana setakat ini, tiada perkara buruk akibat ilmu hitam menimpa saya sepanjang perbicaraan,”.


PEGUAM 5:


“Ia pengalaman yang memberi pengajaran cukup besar untuk diri saya serta boleh dijadikan renungan banyak pihak.
Seorang lelaki terlondeh seluarnya sejurus selesai membaca sumpah laknat. Dalam sumpahnya, dia mengatakan tidak berbohong tetapi apa yang berlaku itu sudah membuktikan kata-katanya tidak benar.
Pengunjung mahkamah yang menyaksikan perkara itu tergamam manakala lelaki terbabit cepat-cepat memakai semula seluarnya sebelum mengatakan mahu menyelesaikan perceraian dengan isterinya dengan baik dan tidak mahu bertangguh.
Dia yang sebelum itu banyak menimbulkan pelbagai masalah akhirnya bercerai secara baik selepas apa yang berlaku. Kerana itu, setiap kali mahu dilakukan sumpah laknat, plaintif atau defendan disarankan supaya berhati-hati dan benar-benar yakin dengan apa yang dikehendakinya. Ini kerana, balasan tuhan adalah keras dan ia dibuktikan dalam kes lelaki itu.” 

1 ulasan:

Apa Komen Anda..?? Komen anda sangat dihargai demi memberi gua semangat untuk terus berblog..