Best Story

11 Oktober 2009

Akhirnya Ong dan Soi Lek Di tolak MCA



KUALA LUMPUR: Perwakilan MCA pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam membuat kejutan dengan menolak kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya yang kini digantung jawatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Ong tewas tipis dengan perbezaan 14 undi dalam usul undi tidak percaya terhadap beliau, manakala Dr Chua pula kecundang dengan kekurangan 74 undi dalam usul untuk mengembalikan jawatannya selaku Timbalan Presiden MCA.
Bagaimanapun, Dr Chua menang dengan perbezaan 109 undi dalam usul berhubung penerimaan semula beliau sebagai anggota MCA.

Keputusan usul menerima semula Dr Chua sebagai anggota MCA itu, sekali gus membatalkan keputusan Majlis Presiden MCA pada 26 Ogos lalu untuk menerima cadangan Lembaga Disiplin dan kemudian keputusan Jawatankuasa Pusat (CC) parti bagi menyingkir atau menggantung Dr Chua.
Ong, yang ditemui pemberita selepas keputusan itu diumumkan, berkata beliau menerima secara terbuka keputusan perwakilan dalam EGM yang meluluskan usul undi tidak percaya terhadapnya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang perkembangan terbaru susulan daripada keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat CC dan Majlis Presiden.

"Saya dan pemimpin MCA menerima sebulat suara serta menghormati keputusan perwakilan dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, sebarang keputusan oleh perwakilan kali ini perlu diterima," katanya.
Sementara itu, Dr Chua, dalam kenyataan ringkas yang disiarkan dalam laman webnya meminta supaya kepemimpinan dalam CC menghormati keputusan yang dibuat perwakilan MCA pada EGM itu.
"Saya terima keputusan yang dibuat oleh semua perwakilan..saya ingin melahirkan penghargaan kepada semua perwakilan dan ahli terhadap sokongan yang diberikan sehingga saya dilantik semula sebagai ahli," katanya.
Sebelum ini, lima usul dikemukakan tetapi sebelum EGM bermula semalam, Speaker EGM itu, Datuk Yip Phooi Hong mengumumkan dua usul digugurkan kerana ia tidak menjadi isu.
Usul terbabit ialah syor pelantikan yang dibuat CC, termasuk pelantikan timbalan presiden MCA dibatalkan dan tindakan tata tertib tidak dikenakan oleh Lembaga Disiplin, Jawatankuasa Pusat atau Majlis Presiden terhadap mana-mana atau semua pihak yang meminta EGM itu diadakan.
Seramai 2,304 perwakilan daripada jumlah keseluruhan 2,380 perwakilan mengundi pada EGM yang bermula jam 10.30 pagi semalam dan proses mengundi tamat pada jam 12.20 tengah hari disusuli pengiraan undi yang selesai pada jam 3.15 petang.
Proses pengundian berjalan lancar. Bagaimanapun, pada jam 3.20 petang, Yip mengumumkan kiraan semula perlu diadakan kerana perbezaan undi agak tipis.
Namun, proses itu turut menemui jalan buntu dan kiraan semula kali kedua dilakukan pada jam 3.45 petang, manakala keputusan muktamad diumumkan pada jam 4.10 petang.
Keputusan di luar dugaan itu juga secara tidak langsung membuktikan pengaruh 'Kuasa Ketiga' yang sebelum ini didakwa tidak wujud, dalam menyingkirkan kedua-dua pemimpin itu dan membuka laluan untuk pucuk pimpinan baru mengambil alih kepemimpinan MCA.

Sumber : Berita Harian









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa Komen Anda..?? Komen anda sangat dihargai demi memberi gua semangat untuk terus berblog..